Cara Yang Betul Dan Lakukan 4 Langkah Ini Untuk Selamatkan Mangsa Tercekik


Cara Yang Betul Dan Lakukan 4  Langkah Ini Untuk Selamatkan Mangsa Tercekik | Kita nak share jugak kat sini, lepas terbaca di facebook tentang pentingnya ilmu rawatan kecemasan untuk selamatkan mangsa tercekik. Sebab ramai yang pandang ringan soal ini. betul tak ? Mesti ramai yang kebanyakannya tak tahu kan. Jom baca perkongsian ini sehingga habis ya. Kat bawah tu ada tunjuk video di mana seorang pengurus restoran menyelamatkan mangsa tercekik. Kita pulak berdebar tonton video yang berdurasi 2 minit lebih tu.

Cara Yang Betul Dan Lakukan 4  Langkah Ini Untuk Selamatkan Mangsa Tercekik

Insiden tercekik atau kehadiran benda asing yang menyekat saluran pernafasan bukan perkara baru, malah kerap kali berlaku dalam kalangan masyarakat. Tercekik susu, roti, mainan, ayam, daging, buah.

Semuanya mungkin boleh berlaku di sekeliling kita, tanpa sedar. Bagi segelintir orang, tercekik bukanlah perkara besar yang perlu diambil perhatian, malah dianggap berlaku disebabkan kecuaian semata-mata.

Sedar atau tidak, tercekik sebenarnya boleh membawa maut dalam sekelip mata. Kita mungkin menuding jari kepada orang di sekitar mangsa, namun pernahkah kita mengambil tahu langkah pertolongan cemas untuk menyelamatkan mereka yang tercekik di tempat awam?

Jangan Ambil Mudah Tentang Insiden Tercekik 

Menurut Pensyarah Kanan Perubatan dan Pakar Perubatan Kecemasan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Shahrul Nizam Ahmad Zamzali, tercekik adalah insiden berbahaya yang memerlukan rawatan segera bagi mengelak maut.

“Badan dan otak manusia sentiasa memerlukan oksigen. Ia diperoleh daripada udara, melalui pernafasan. Apabila kita bernafas, udara akan masuk ke paru-paru. Dari situlah oksigen akan hantar ke otak dan organ penting.
Cara Yang Betul Dan Lakukan 4  Langkah Ini Untuk Selamatkan Mangsa Tercekik

“Apabila seseorang itu tercekik, bendasing (benda asing) yang masuk akan menyumbatkan saluran pernafasan hinggakan tiada pertukaran gas boleh berlaku. Ini bermakna, kita tidak boleh bernafas atau menyedut udara dari luar.

“Keadaan inilah yang akan menyebabkan oksigen kurang sampai ke otak. Sedangkan, tubuh manusia hanya boleh bertahan selama empat minit untuk mengekalkan fungsinya dengan baik dan seimbang.

“Jika dalam tempoh empat minit ini tubuh gagal mendapat oksigen, kita boleh mengalami kecacatan otak kekal. Paling penting, sekiranya tidak dirawat segera, ia juga boleh mengakibatkan kematian,” katanya.

Cara Yang Betul Dan Lakukan 4  Langkah Ini Untuk Selamatkan Mangsa Tercekik
DR Shahrul Nizam menunjukkan tanda tercekik.

Tercekik Boleh Dikategorikan Kepada 2 Jenis Iaitu Ringan Dan Berat

Jelas Dr Shahrul Nizam, tercekik yang dimaksudkan ini tidak sama dengan senario tercekik tulang ikan yang kerap disebut dalam kehidupan seharian. Sekalipun tercekik tulang ikan mendatangkan rasa tidak selesa, ia tidak mengakibatkan saluran udara tersumbat.

“Tercekik yang saya maksudkan ini menyebabkan saluran udara kita tersumbat. Secara amnya, tercekik terbahagi kepada dua jenis iaitu ringan dan berat. Bagi tercekik ringan, mangsa biasanya masih boleh bercakap, batuk dan bernafas.

“Namun, jika berlakunya tercekik berat, mangsa akan mengalami kesukaran bernafas, bercakap atau batuk kerana sumbatan bendasing di saluran trakea. Tanpa rawatan segera, mangsa mungkin mengalami kebiruan (sianosis) di mulut atau muka.

“Apabila mangsa sudah kebiruan dan kita belum cuba menghulurkan rawatan kecemasan, besar kemungkinan dia akan pengsan,” katanya.

Jelas Dr Shahrul Nizam, terdapat beberapa langkah kecemasan yang boleh dilakukan sesiapa saja untuk menyelamatkan nyawa mangsa tercekik.

Cara Yang Betul Dan Lakukan 4  Langkah Ini Untuk Selamatkan Mangsa Tercekik
DR Shahrul Nizam menunjukkan saluran pernafasan dan makanan.

Bagi Yang Tercekik Ringan Langkah Yang Betul Adalah Batuk 

“Bagi mereka yang mengalami tercekik ringan, langkah utama yang perlu kita buat adalah dengan menyuruh dia batuk. Itu saja. Apabila dia boleh batuk, jadi biarkan saja mangsa batuk.

“Ini kerana, batuk adalah langkah paling efektif untuk membantu orang yang tercekik dan masih boleh batuk. Tidak perlu kita tepuk atau pukul di bahagian belakang tubuh mereka kerana tindakan itu hanya akan menimbulkan masalah lain.

Langkah Pertolongan Cemas Bagi Yang Tercekik Berat

“Tetapi apabila tercekik berat, kita perlu tahu langkah pertolongan cemas untuk membantu mangsa. Sebab itulah pentingnya kita mengetahui tanda tercekik. Dengan adanya pengetahuan asas sebegini, secara automatik, kita akan tahu apa yang perlu dilakukan dalam situasi tertentu,” katanya.

Hulur bantuan

Sekiranya bertembung dengan mangsa tercekik berat, kita perlu ingat beberapa langkah berikut:

1. Sedar atau pengsan

Lihat sama ada mangsa masih boleh memberi tindak balas atau tidak.

Jika mangsa masih sedar, kita boleh tepuk atau pukul di bahagian belakang, di antara kedua tulang belikat.

Tepuk sebanyak lima kali, sehingga bendasing yang tersumbat itu keluar.

2. Tekanan abdomen

Jika bendasing yang tersumbat masih tidak keluar, lakukan tekanan abdomen. Ini yang kerap disebut sebagai Heimlich maneuver.

Caranya adalah dengan membuat tekanan abdomen dengan berdiri di belakang mangsa (jika mangsa masih berdiri).

Letakkan kaki anda di tengah-tengah (celah kaki mangsa) supaya kedudukan lebih stabil. Dari belakang, letakkan genggaman tangan kanan di antara pusat dan bawah rusuk mangsa atau bahasa mudahnya di kedudukan butang ketiga (pakaian lelaki).

Sokong dengan tangan kiri dan tarik ke atas. Tekanan diberi pada bahagian perut mangsa supaya dengan teknik itu, tekanan dalam paru-paru akan bertambah dan menolak bendasing keluar.

Langkah kedua hanya boleh dilakukan jika mangsa mengalami tercekik teruk dan masih dalam keadaan sedar serta boleh berdiri. Ulang langkah pertama dan kedua secara bergilir sehingga bendasing keluar. Sekiranya mangsa sudah kebiruan dan tidak sedar, kita perlu bersedia memberi bantuan pernafasan (CPR) terhadap mangsa.

Cara Yang Betul Dan Lakukan 4  Langkah Ini Untuk Selamatkan Mangsa Tercekik

Bagaimana Untuk Mengelak Dari Tercekik ? 

Kata Dr Shahrul Nizam, insiden tercekik dalam kalangan dewasa kerap berlaku disebabkan makanan. Berbanding kanak-kanak yang biasanya menumpukan perhatian pada makanan, orang dewasa cenderung berbual, bergurau-senda dan melakukan perkara lain serentak ketika makan.

“Sepatutnya, apabila makan, kita perlu fokus kepada hidangan. Elakkan terlalu banyak berbual dan ketawa kerana ia meningkatkan risiko tercekik. Sebaiknya, potong saiz hidangan yang besar kepada bahagian yang kecil serta mudah dimakan.

“Kunyah makanan dengan betul. Bagi yang minum alkohol, pastikan mereka tidak makan selepas minum kerana bimbang tidak mampu mengawal proses menelan dalam keadaan mabuk.

“Paling utama, jangan menyuap makanan atau minuman kepada orang yang tidak sedar seperti pesakit strok dan pengsan kerana boleh menyebabkan mangsa tercekik,” katanya.

Tambah Dr Shahrul Nizam, tercekik mudah berlaku kerana kedudukan saluran makanan (esofagus) bersebelahan dengan saluran pernafasan (trakea).

“Di bahagian atas trakea, ada satu ‘penutup’ yang kita panggil sebagai epiglotis. Ia menjalankan fungsi menutup saluran pernafasan ketika menelan, jadi makanan tidak masuk ke saluran paru-paru,” katanya.

Kenapa Pentingnya Ilmu Rawatan Kecemasan ?
Cara Yang Betul Dan Lakukan 4  Langkah Ini Untuk Selamatkan Mangsa Tercekik

Sekalipun kita dikelilingi pasukan perubatan dan kelompok masyarakat prihatin, namun setiap orang tetap perlu mempunyai sedikit pengetahuan asas pertolongan cemas untuk digunakan ketika berdepan waktu sukar.

Kata Dr Shahrul Nizam, adalah penting untuk masyarakat mengambil tahu langkah pertolongan cemas yang betul kerana ia mampu menyelamatkan nyawa di mana-mana, pada bila-bila masa.
“Memberikan rawatan kecemasan sebenarnya dapat menjimatkan masa kerana dalam tempoh menunggu ambulans datang dan membawa mangsa ke hospital, kita mungkin akan kehilangan banyak waktu dan peluang. Dalam kebanyakan situasi kecemasan, jika rawatan dapat diberi lebih awal, kesan kecederaan mangsa pasti dapat dikurangkan. Ini bermakna, mangsa akan mengalami proses pemulihan yang lebih baik.
“Ilmu kecemasan ini juga sebenarnya cukup berharga, terutama dalam membantu masyarakat memerlukan. Ada ramai di antara kita yang mahu membantu, tetapi mereka tidak tahu bagaimana untuk menghulurkan bantuan.

Jadi, jika mereka dapat belajar, bantuan boleh diberi dalam kalangan masyarakat sendiri, sebelum bantuan profesional tiba.

“Bagaimanapun, belajar dengan cara dan teknik yang betul, daripada pihak yang berkelayakan. Ini penting kerana jika bantuan disampaikan salah, ia boleh memburukkan kecederaan mangsa.

“Satu peringatan berharga untuk semua, jika kita berdepan kecemasan, cubalah hulurkan bantuan dan bukannya mengambil gambar.

Besar kemungkinan, gambar yang tersebar di media sosial boleh menjejaskan emosi mangsa dan keluarga, mengganggu petugas kecemasan memberi rawatan sebenar dan mengaibkan pihak berkaitan,” katanya.

Video Saat Mangsa Dalam Keadaan Tercekik Dan Pengurus Restoran Ini Berjaya Menyelamatkan Mangsa 



4 Langkah Yang Betul Untuk Selamatkan Mangsa Tercekik Dikenali Sebagai Heimlich Maneuver

Cara Yang Betul Dan Lakukan 4  Langkah Ini Untuk Selamatkan Mangsa Tercekik
1. Tentukan posisi untuk tekanan abdomen 

Cara Yang Betul Dan Lakukan 4  Langkah Ini Untuk Selamatkan Mangsa Tercekik
2. Genggaman yang betul 

Cara Yang Betul Dan Lakukan 4  Langkah Ini Untuk Selamatkan Mangsa Tercekik
3. Dari belakang, letakkan genggaman tangan kanan di antara pusat dan bawah rusuk mangsa

Cara Yang Betul Dan Lakukan 4  Langkah Ini Untuk Selamatkan Mangsa Tercekik
4. Sokong dengan tangan kiri dan tarik ke atas

Sumber : my metro

1 Comments

  1. haritu baru je tengok video mangsa tercekik, tak pernah lag berdepan dengan situasi panik macam tu. Selalunya tercekik ringan je. Thanks for the tips!

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post