Lebih Kuat, Lebih Perkasa! Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Varian Lambda COVID-19!

Lebih Kuat, Lebih Perkasa! Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Varian Lambda COVID-19! | Salam semua, dah rasa seram sejuk bila dengar kes harian dah cecah 5 angka. Kerisauan tetap ada jugak ya. Lebih - lebih lagi segala macam varian pulak yang timbul. Bijak sungguh virus Covid ni kan. Semalam sis pun dah dengar varian Delta yang selalu dengar kat berita dah menular masuk Kelantan. Dah ada seorang wanita yang kena varian Delta. Sekarang negara kita tengah giat untuk pemberian vaksin untuk rakyat Malaysia. 

Varian Lambda COVID-19

Dalam tempoh tengah vaksin ni pun macam - macam varian keluar. Ini yang terbaru pulak. Sis baca dekat portal hellodoktor.com. Kena ambil tahu jugak ya, sebab kebanyakan di setiap negeri kes jadi tinggi balik. 

Varian Lambda Pertama Kali Dikesan Di Peru 

Setelah hampir 2 tahun berhadapan dengan pandemik COVID-19, penemuan varian baharu bukanlah sesuatu yang luar biasa. Pada awalnya, kita dikejutkan dengan varian alpha dan delta yang mampu menjangkiti orang lain dengan pantas berbanding varian sebelumnya. Kini, muncul pula varian baharu iaitu varian lambda.

Varian lambda yang juga dikenali sebagai virus COVID-19 strain C.37 pertama kali dikesan di Peru pada Ogos 2020. Namun, ia baharu sahaja diklasifikasikan sebagai variant of interest (VOI) oleh WHO pada 15 Jun lalu.

Kini, varian lambda telah dikesan di 29 buah negara yang berbeza – 7 daripada negara ini terletak di Amerika Latin. Malah, di Peru, hampir 82% kes baharu yang dicatatkan di negara tersebut berpunca daripada varian lambda.

Buat masa ini, Peru mempunyai angka kematian COVID-19 per populasi yang paling tinggi di dunia. Statistik menunjukkan Peru mempunyai kadar kematian melebihi 190,000 dengan bilangan rakyat sebanyak 33 juta.

Kenali Varian Lambda C.37


Varian Lambda COVID-19

Menurut Nathaniel Landau, PhD, dalam kajiannya yang diterbitkan menerusi jurnal bioRxiv, virus ini mempunyai kombinasi mutasi yang luar biasa.

Kombinasi mutasi ini jugalah yang membuatkan virus tersebut mempunyai kadar transmisi yang lebih tinggi.

Varian lambda mempunyai 7 mutasi pada kawasan protein pepaku (spike protein) yang terletak di luar cangkerang virus tersebut. Protein pepaku inilah yang membuatkan varian ini lebih mudah ‘melekat’ pada sel badan manusia.

Malah, disebabkan mutasi tersebut, protein pepaku ini juga berupaya menghalang antibodi untuk bertindak ke atasnya secara lebih berkesan. Jadi, tidak mustahil varian lambda akan menjadi lebih rintang terhadap imunisasi!

Tambah lagi, sebuah kajian yang dijalankan di Chile juga mendapati varian lambda lebih mudah merebak berbanding varian alpha dan gamma.

Kajian yang mengkaji kesan vaksin Sinovac terhadap varian ini juga mendapati vaksin 3 kali kurang berkesan apabila berhadapan dengan varian lambda.

Walau bagaimanapun, kedua-dua kajian di atas masih belum lagi melalui kajian semula setara (peer-reviewed).

Oleh sebab itu, masih banyak lagi kajian yang perlu dilakukan sebelum sebarang kesimpulan dapat dilakukan.

Malah, varian ini juga masih lagi diklasifikasikan sebagai VOI dan bukannya VOC (variant of concern).

Menurut CDC, VOC ialah sejenis varian yang lebih berbahaya dan berupaya menyebabkan penyakit yang lebih serius melibatkan hospitalisasi dan juga kematian.

Varian delta merupakan salah satu contoh varian yang diklasifikasikan sebagai VOC.

Varian Lambda Di Malaysia

Varian Lambda COVID-19

Menurut Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, buat masa ini varian lambda masih belum dikesan di Malaysia. Kebanyakan penularan COVID-19 disebabkan virus ini dikesan di Amerika Selatan.

Beliau juga menggesa kerajaan agar memperketatkan lagi sempadan antarabangsa supaya varian ini tidak terlepas ke negara kita.

Di United Kingdom, 8 kes COVID-19 disebabkan varian lambda dikesan mempunyai kaitan dengan perjalanan ke luar negara.

Pada waktu ini, saintis masih lagi berpendapat varian delta lebih berbahaya berbanding varian lambda.

Malah, varian ini juga dianggap sebagai ancaman dunia yang terbesar dengan nama julukan ‘the fastest and the fittest’. Kini, varian delta telah menular di hampir 100 buah negara yang berbeza.

Setakat 30 Jun 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesan hampir 40 kes jangkitan COVID-19 dengan varian delta di negara kita.

Menurut Dr. F. Perry Wilson dalam laman sesawang Yale Medicine, varian delta mampu merebak sebanyak 50% lebih pantas berbanding varian alpha.

Kini, varian delta telah menjadi strain yang dominan berbanding varian lain.

Adakah vaksin tidak lagi berkesan?

Varian Lambda COVID-19

Buat masa ini, masih belum ada data yang mencukupi untuk mengesahkan kenyataan di atas. Malah, ada kajian yang menunjukkan vaksinasi masih lagi berkesan dalam mengelakkan penularan varian lambda.

Sebuah kajian pracetak dari New York University Grossman School menemui pengurangan keberkesanan vaksin Pfizer dan Moderna sebanyak 2 hingga 3 kali ganda terhadap varian lambda.

Walaupun terdapat pengurangan dari segi keberkesanan, pakar berpendapat dua vaksin ini masih lagi mampu memberikan perlindungan terhadap varian yang ada.

Namun, hingga kini belum ada lagi vaksin yang mampu memberikan perlindungan sebanyak 100% terhadap mana-mana varian COVID-19.

Namun, langkah terbaik yang anda boleh lakukan untuk melindungi diri anda dan keluarga daripada varian alpha, lambda dan delta adalah dengan mengambil vaksinasi.

Vaksinasi juga perlu dilengkapkan sebanyak dua dos. Selepas itu, anda diminta untuk menunggu selama 2 minggu supaya vaksinasi tersebut benar-benar berkesan.

Kredit : hellodoktor.com


1 Comments

  1. risau bila baca pasal virus lambda nih
    harap tak bocor menular dkt Malaysia lah

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post