Pengalaman Menjadi Seorang Blogger Dan Cabarannya Masa Kini | Salam semua, dunia "blogging" sekarang amat berbeza jika dibandingkan dengan 10 tahun yang lepas. Permulaan untuk saya memulakan blog sekitar pada tahun 2011 adalah saya tertarik dengan membaca blog orang lain yang suka menulis kisah kehidupan mereka untuk diabadikan di dalam blog. Terfikir untuk menjadikan blog sebagai satu diari atas talian satu ketika dulu, saya tidak percaya sehingga sekarang ini saya bertahan dan masih lagi seorang blogger.
Cuma apa yang bezanya sekarang, jika dulu saya menulis untuk suka - suka, tapi sekarang ini dengan blog juga saya sudah boleh menjana pendapatan.
Walaupun untuk permulaannya, seperti terlalu banyak masa yang dibazirkan untuk mengetahui selok - belok blog. Tapi percayalah, di penghujungnya ada kemanisan yang sedang menanti.
Dari hanya buat blog untuk suka - suka untuk coretan diari di blog dan sekarang ini saya sudah labelkan diri saya sebagai seorang lifestyle blogger.
Dunia "blogging" lebih meriah apabila pembaca yang mengunjungi blog memberi komen untuk artikel yang telah diterbitkan. Berkongsi artikel yang bermanfaat kepada pembaca adalah kepuasan saya.
Pilihan Untuk Menjadi Blogger Ataupun Influencer
Zaman "blogging" awal - awal dulu memang seronok sebab masa itu dunia "blogging" memang meriah. Singgah untuk komen di blog orang lain bukan saja dapat kenal sesama blogger tapi juga untuk menjaga hubungan sesama blogger.
Apabila timbulnya media sosial masa kini seperti Instagram, Tik Tok, Twitter, Youtube, Facebook dan banyak lagi, mulalah perkataan Influencer disebut - sebut.
Pada mulanya, saya pun tidak faham sangat istilah influencer sebenarnya, merujuk kepada siapa dan apa fungsi influencer. Tanpa saya sedar, sudah ramai juga blogger telah beralih untuk menjadi influencer dan mempunyai pengikut yang sangat ramai.
Dulu, pembaca banyak buat carian di Google untuk mencari info yang berkaitan. Sejak media sosial telah berubah ikut arus teknologi ini dan lebih menarik, semakin ramai yang lebih suka menghabiskan masa di aplikasi untuk mencari info yang berkaitan.
Sejak saya ambil khidmat review untuk diterbitkan di blog,saya sudah berkolaborasi dengan banyak brand untuk menulis tentang produk mereka di blog.
Dalam masa yang sama brand meminta juga untuk post di mana - mana media sosial yang ada. Secara tak langsung, produk yang saya telah review bukan saja ada carian di Google malah ada carian di media sosial.
Mungkin saya boleh dikategorikan sebagai blogger dan juga influencer. Tapi lebih kepada mikro influencer sebab pengikut tidak berapa ramai. Saya pun tidak merasakan diri ini influencer hebat, sebab saya lebih berminat kepada penulisan di blog. Tapi apa salahnya, jika brand minta untuk post di media sosial saya akan ikut saja.
Cara menjadi influencer hebat bukan senang juga. Banyak faktor yang perlu diambil kira.
Cabaran Menjadi Seorang Blogger Masa Kini
Ramai nak jadi blogger bila dapat tahu yang dengan blog juga boleh jana pendapatan pasif. Tapi, percaya lah tak semua orang mampu nak jadi seorang blogger. Saya sendiri pun macam tak percaya hingga sekarang boleh bertahan dan masih seorang blogger. Pengalaman sepanjang 10 tahun dalam dunia blogging mengajar saya banyak perkara.
Walaupun teknologi digital makin lama makin berkembang, banyak cabaran yang saya sudah lalui hingga sekarang masih lagi cabaran bagi seorang blogger.
1. Konsisten Dalam Penulisan Blog
Tidak dinafikan, saya akui sukar untuk konsisten dalam membuat penulisan di blog. Ada kalanya saya mengalami writer's block sebab kekurangan idea untuk terbitkan artikel di blog. Ini masalah bagi blogger seperti saya untuk teruskan menulis dalam blog. Bukan mudah sebenarnya untuk menulis dan nak fikirkan konten untuk pembaca.
Ada banyak faktor yang diambil kira. Bukan setakat nak fikir untuk penulisan di blog saja, nak cari gambar yang menarik untuk diletakkan di blog ataupun video.
2. Memahami SEO ( Search Engine Optimization )
Sebagai seorang blogger perlu memahami apa itu SEO ( Search Engine Optimization ). Itu cabaran bagi saya untuk memahami selok belok SEO. Sepanjang bergelar sebagai seorang blogger, sampai sekarang pun saya masih belajar tentang teknik dan strategi untuk menerapkan SEO dalam setiap artikel yang saya terbitkan.
Sudah tentu konten yang saya tulis adalah untuk mendapatkan kedudukan yang baik di search engine. Mestilah artikel yang saya nak tulis berada di halaman pertama di page Google.
Terutamanya dari segi algoritma Google yang sentiasa berubah - ubah setiap waktu. Lebih - lebih lagi bila saya menerima job berbayar untuk mempromosikan produk klien. Saya ingin memastikan artikel yang saya tulis sampai kepada pembaca.
3. Pengurusan Masa
Bila dah ada blog, saya akui untuk uruskan blog memang menjadi masalah dari segi masa. Kerja - kerja menulis di blog ini bukan senang jika tidak ada pengurusan masa. Adakalanya, blog berehat dari konten terbaru sebab tidak ada masa mencari ruang untuk menulis.
Mood pun memainkan peranan utama dalam menulis blog. Biasanya, memang saya perlukan suasana tenang sebab nak fikirkan idea untuk menulis.
Apapun, saya kena bijak untuk uruskan masa dan ruang untuk blog.
4. Market Blogger
Hingga sekarang ini, blogger masih diperlukan oleh brand untuk mempromosikan produk mereka di blog. Tetapi, apa yang menjadi masalahnya adalah market blogger yang boleh dikatakan merosot. Kerja menulis bukan senang ditambah lagi dengan persaingan di kalangan influencer yang lain.
Tapi ini bukan mematahkan semangat saya untuk tinggalkan dunia blogging. Cuma saya kena berikan yang terbaik untuk brand melihat hasil kerja saya.
Pencapaian Dalam Dunia Blogging
Sepanjang saya bergelar blogger, saya belajar banyak perkara, disebabkan dunia blog juga saya mula mendapat undangan event. Jemputan - jemputan ke acara tertentu memang amat penting bagi penganjur menggunakan blogger untuk mempromosikan dengan menulis artikel di blog.
Selain itu, saya mula kenal dengan group blogger yang lain. Bila berkongsi minat yang sama, baru rasa semangat untuk blogging tetap ada. Masa ini lah dapat kenal dengan lebih rapat dengan blogger lain.
Untuk pencapaian di blog pula, walaupun banyak cabaran yang saya sebutkan seperti di atas, tapi syukurlah penat lelah berbaloi, trafik meningkat, selalu dapat tawaran job untuk khidmat review sama ada dari dalam dan luar negara.
Tapi yang penting tidak boleh duduk dalam zon selesa sangat, banyak lagi nak kena memperbaiki kualiti blog.
Bina Personal Branding
Sejak saya menjadi seorang blogger, saya banyak bina profile di mana - mana media sosial untuk menarik pengguna internet ke blog. Selain daripada akaun Instagram dan Facebook, pada tahun 2018, saya telah buka channel Youtube dan telah terbitkan video di sana. Sehingga kini, channel Youtube saya sudah mencecah 13.6 K subscribers.
Ini secara tidak langsung, dapat menarik pengguna dari Youtube untuk mengunjungi blog saya.
Bagi saya, personal branding amat penting untuk blogger dan juga influencer. Blogger dan influencer ada peranan tersendiri, tapi untuk mencapai ke tahap yang seterusnya, kena banyak bina personal branding yang kukuh untuk brand melihat keupayaan kita.
Jika anda tanya, bagaimana cara menjadi blogger ataupun influencer, Jika minat menulis, boleh menjadi seorang blogger, jika anda mempunyai pengikut yang ramai di mana - mana media sosial, anda boleh menjadi influencer yang hebat.
Anda boleh pilih niche mana yang anda lebih berminat dan mula lah bina personal branding anda sekarang.
Suka baca pengalaman penulis, menarik dan bermatlamat. Tahniah dan moga terus barjaya. Aameen.
ReplyDeleteRamai follower tu memang satu bonus sebenarnya untuk jadi influencer. Bila join Intellifluence memang reach akan naik. Bagus & senang untuk apply job kat marketplace.
ReplyDeletewani antara sahabat blogger yang dah lama kak ana kenali dan sentiasa konsisten dan content yang baik2 alhamdulillah..
ReplyDeleteTahniah! semoga terus maju jaya.
ReplyDeletealaa.... wani rajin sgt update content... tak terkejar. hebat sgt nih
ReplyDeletePost a Comment