Penjagaan Buah Pinggang : Pengalaman Diet Pesakit Buah Pinggang Kronik

Salam semua, sambung balik dari entri sebelum ni pasal mak pesakit buah pinggang tahap 3. Sis ada cerita kat SINI , kali ini nak kongsi tentang diet untuk pesakit buah pinggang. 

Diet pesakit buah pinggang

Sebenarnya dekat Threads, ada yang komen, macam mana cara pemakanan bagi pesakit buah pinggang ni. 

Sebab mak dia dah kena detect dengan CKD tahap 3. Sebenarnya, sis ada komen dekat post doktor tu, tapi ada yang balas komen dekat komen sis. 

Nak tulis kat situ memang panjang lebar la. Fikir - fikir baik tulis kat blog. 

Sis pun macam orang yang bertanya tu jugak dulu, bila dengar mak kena detect dengan CKD tahap 3 rasa macam jam otak sebab benda yang mak suka makan dulu - dulu tak boleh dah nak makan buat masa sekarang. 

Dengar penerangan doktor tentang diet untuk pesakit buah pinggang, terfikir boleh ke mak ikut apa cadangan doktor makanan apa yang boleh dimakan.

Bila dah ada masalah buah pinggang kronik ni, nak reverse tu memang susah. Walaupun ada dengar orang yang berjaya reverse, Kalau dah berjaya reverse memang satu pencapaian yang bagus. 

Tapi dengan keadaan mak yang sudah masuk warga emas dan dah lama ada sejarah kencing manis ni memang susah dah. 

Cara Pemakanan Untuk Pesakit Buah Pinggang 

Jadi, kalau dah ada penyakit CKD ni tak kira tahap 1,2,3,4 dan 5, pemakanan seharian memang perlu jaga. 

Sudah 2 tahun dah mak follow - up jumpa doktor sejak ada sakit CKD. Alhamdulillah maintain tahap 3. 

Ada sekali turun tahap 2 doktor puji sekejap, tapi itu lah bila terbabas sikit makan, naik tahap 3 balik. 

Makanan apa yang sebenarnya sesuai untuk pesakit buah pinggang ? 

1. Amalkan Diet Protein Rendah 

Protein sebenarnya amat penting untuk bina tisu - tisu otot, baikpulih semula tisu yang rosak. 

Kalau untuk hidangan yang biasa kita makan sama ada lauk  ayam, daging ataupun ikan memang kena ada lah. 

Tapi, untuk pesakit CKD, kena amalkan diet protein rendah. Kalau ikut saranan doktor, memang siap ada sukatan setiap lauk protein yang diambil.

Memang  tak kuasa nak sukat - sukat berapa pengambilan protein sehari. 

Mak memang banyak makan ikan nak dibandingkan dengan ayam dan daging. Ayam dan daging ni protein tinggi. 

Jadi nak makan tu memang berhati - hati. Tak boleh nak makan banyak. Kalau boleh tak ambil langsung pun lagi bagus.

Protein ni bukan dari haiwan saja ya, tumbuhan pun ada sumber protein. Kena lebihkan makan sayur nak banding dengan makan sumber protein dari haiwan. 

Untuk protein dari tumbuhan ni, sayur untuk pesakit buah pinggang boleh makan : 

1. Spinach
2. Cendawan
3. Bunga kubis 
4. Lada benggala
5. Timun
6. Brokoli
7. Tomato 
8. Parsley
9. Kale
10. Kubis

2. Nasi 

Nasi sudah menjadi makanan ruji bagi kita semua. Kalau ikut doktor cakap nak banding makan roti dengan nasi, baik makan nasi. Jadi, ada betul jugak apa doktor cakap. 

Roti yang ada di pasaran tu dah banyak bahan pengawet lagipun roti ada gluten. 

Mak memang makan beras parboiled tak kisah jenama apa asalkan beras parboiled. Bukan beras putih biasa. 

Sis ingat lagi ada doktor beritahu ada pesakit dia, masa datang follow-up jumpa dia kurusnya makcik tu. Makcik tu ada CKD.
 
Bila tanya, dia cakap nasi tak makan, asyik makan barli sebab jadi takut sangat bila orang kata nasi pun tak boleh makan. Kasihan makcik tu. 

Bukan tak boleh makan nasi sebab nasi tu nak bekalkan tenaga juga untuk tubuh kita. Pengganti lain untuk nasi boleh makan mee hoon, kuey teow, laksa. 

Cumanya bila dah ada CKD ni, portion untuk makan tu kena jaga. Kalau contoh nak makan nasi, 1 cawan untuk setiap hidangan. 

3. Elak Gluten, Ambil Tepung Gluten Free

Sentuh pulak pasal pencuci mulut. Tak kira lah kuih atau kek. Kalau boleh elak makan yang ada tepung gandum. 

Tepung gandum ni ada gluten. Selain tepung gandum, semua tepung lain adalah gluten free. 

Contoh tepung gluten free adalah tepung beras, tepung jagung, tepung ubi, tepung kacang hijau, kacang almond, tepung kelapa, tepung pulut dan lain - lain. 

Kalau nak buat kuih atau kek boleh guna tepung gluten free. Dari dulu kita dah terbiasa asyik buat kek dengan tepung gandum kan. 

Sedangkan boleh je ganti dengan tepung gluten free. Sekarang ni dah banyak kat pasaran, tepung gluten free yang dah siap. 

Kalau terbeli kuih kat luar pun memang pilih yang dibuat dari tepung gluten free. Banyak kan kuih - kuih yang dibuat dari tepung gluten free ni. Pandai kita je nak pilih. 

Kalau nak buat sendiri kuih kat rumah sis memang buat kuih yang gluten free. Jarang dah sis nak buat kek - kek sekarang ni. 

4. Pengganti Gula Putih 

Ikutkan sebelum mak kena detect dengan CKD ni, kat rumah memang tak ada dah stok gula putih. 

Jadi untuk gantikan gula putih ni, kalau boleh cari gula yang sumber dari semulajadi contohnya dari gula kabung, gula kelapa, madu.

Diet pesakit buah pinggang

Ganti dengan pemanis stevia ataupun gula melaka asli tak kisah lah dalam bentuk macam mana pun. 

Sekarang ni kat pasaran ada yang bentuk kiub, bentuk yang kasar pun ada. 

5. Amalkan Minum Jus Saderi 

Pernah tak makan batang saderi yang besar - besar tu. Biasanya sis masak buat sup. 1 batang kecik dia pun dah cukup. Bau pun macam daun sup kan. 

Batang saderi sebenarnya boleh dibuat jus juga. Mungkin ramai yang tak biasa minum jus saderi. Tapi bila fikirkan dengan khasiat yang ada dalam saderi, ramai yang sanggup minum.

Saderi kaya dengan antioksidan, vitamin serat dan mineral. 

Diet pesakit buah pinggang

Saderi juga dikatakan dapat membantu menggalakkan fungsi buah pinggang yang sihat dan normal dengan membantu penyingkiran toksin daripada badan, sekali gus menghalang pembentukan batu karang.

Disebabkan buat banyak sebab nak dapatkan jus saderi memang beli banyak - banyak buat stok dalam peti. Kalau boleh guna juicer bukan mesin guna blender letak air ya. 

Minum sebelah pagi semasa perut kosong. Biasanya malam baru buat jus dan simpan dalam peti, kemudian esok pagi minum. 

Tapi tu lah kadang - kadang saderi ni sampai tak ada stok dan harga pun makin naik. 

6. Amalkan Diet Barli Dan Minuman

Korang,  tolong amalkan diet barli dalam makanan korang ok. Sekarang ni tak nanti sakit pun nak amalkan barli dalam hidangan yang diambil. 

Barli ni  memang banyak khasiatnya semua orang tahu kan. Salah satunya untuk kesihatan buah pinggang. 

Sebabnya, barli baik untuk melawaskan pembuangan air kecil sekaligus membantu meningkatkan kesihatan buah pinggang. 

Selain itu, barli juga membantu untuk sistem penghadaman. Apa yang perlu korang buat pelbagaikan menu untuk barli. 

Sejak buat stok barli setiap kali habis beli pun dalam 1 1/2 kg je tak banyak takut ada haiwan bersarang.

Biasanya selepas rebus barli, tapis ambil airnya. Untuk barli simpan dalam bekas kemudian simpan peti bawah. 

Diet pesakit buah pinggang

Sis biasanya buat stok kalau tak habis sis frozenkan barli ni. Barli ni boleh digoreng tau. Nanti korang buat barli goreng ganti dengan nasi goreng cuma letak barli je. 

Untuk pilihan lain, ikut cadangan doktor masukkan barli ni dalam nasi yang kita tanak. Maksudnya lepas nasi tu masak / keep warm, ambil barli dalam setengah senduk nasi dan letak dalam nasi dalam periuk tu dan gaul rata. 

Dah setahun lebih dah sis amalkan letak dalam nasi. Sekurang - kurangnya itu lah cara nak konsisten makan barli. Sebab nasi hari - hari kita makan kan. 

Diet pesakit buah pinggang

Dulu mak sis rajin juga goreng barli tu sekarang sebab dah bosan kot. Jadi, barli hanya letak dalam nasi yang kita tanak je.

Memang kena rajin sangat sikit. Lagi satu, korang boleh buat juga air lai chi kang letak barli. 

7. Elakkan Makanan Potasium Tinggi

Potassium dalam kebanyakan makanan semua ada. Terutamanya buah - buahan, sayur - sayuran dan juga kekacang. 

Cumanya, untuk pesakit CKD, pengambilan potassium tidak boleh ambil secara berlebihan. Untuk pengetahuan korang, potassium adalah bahan yang larut dalam air. 

Bagaimana nak kurangkan potassium ? 

Ikut cadangan doktor, sayur - sayur yang nak dimasak selepas potong siap - siap, boleh rendam dalam air dalam 1 - 2 jam. Kemudian bilas beberapa kali sebelum dimasak. 

Kena kenal pasti terutamanya buah - buahan dan sayur - sayuran mana yang mempunyai potassium tinggi. 

Untuk pilihan yang lebih selamat kena pilih makanan yang sederhana atau rendah potassium. 

Contoh buah yang mengandungi potassium tinggi adalah seperti anggur, buah yang berwarna kuning khususnya seperti pisang, durian, nangka, mangga, bachang memang tak boleh makan. 

Nak katanya buah yang kuat bau tu. Ikutkan kesukaan mak semua tu, tapi tu lah buat masa sekarang memang kena pantang. Kalau boleh tak payah makan terus. 

Contoh buah yang sesuai untuk pesakit buah pinggang adalah buah yang mempunyai potassium rendah seperti : 

1. Buah lai
2. Betik
3. Epal hijau / merah, 
4. Jambu air
5. Jambu batu

8. Hadkan Pengambilan Garam ( Sodium ) 

Penggunaan garam ni ramai yang tak sedar badan kita dah mengambil garam yang berlebihan. Tahu tak apabila garam berlebihan dalam badan ni apa akan jadi? 

Ia boleh menyebabkan cecair berkumpul di dalam badan. Apabila garam terkumpul di dalam darah menyebabkan darah menjadi pekat. 

Jadi, air diperlukan untuk mencairkan semula darah. Jika pengumpulan cecari terlalu banyak boleh menyebabkan sembab / bengkak pada muka, tangan dan kaki. 

Macam kes mak memang kaki dah mula sembab semasa doktor nak mendiagnosis sakit apa.

Apa yang boleh korang buat adalah menghadkan penggunaan garam di dalam masakan. Tapi tu lah, susah jugak nak seimbang rasa ni terlalu tawar tak sedap pulak. 

Nak lagi baik, boleh guna garam bukit. Kat rumah memang dah bertukar garam bukit dah. Kena ingat jugak makanan - makanan lain yang kaya garam. 

Contohnya seperti budu, belacan, cencaluk, jeruk segala jenis kicap dan segala jenis sos. Penambah perisa seperti segala jenis kiub, MSG ( monosodium glutamate ). 

Selain itu, makanan yang diperap dengan seperti segala jenis ikan masin, ikan bilis, ikan kering dan udang kering. 

Sentiasa berhati - hati dalam memilih makanan garam ni banyak bersembunyi dalam makanan lain. 

9. Hadkan Pengambilan Cecair 

Mak CKD tahap 3, setakat ni doktor tak ada bagi tahu kena hadkan pengambilan cecair. 

Tapi, apabila dalam situasi keadaan buah pinggang dah sangat lemah, memang doktor akan nasihatkan kena hadkan pengambilan cecair. 

Minum air terlalu banyak pun buah pinggang dah lemah dah nak proses boleh menyebabkan bengkak, sembab pada muka, tangan dan kaki. 

Ada sis dengar cerita air terlalu banyak dalam badan nak kencing pun tak boleh sampai doktor nak ambil darah, tapi yang keluarnya air yang masuk dalam bekas tu. 

Bahayanya bila dah sampai tahap nak kencing tapi tak boleh kencing. 

Kesimpulan 

Kalau nak ikut diet pesakit buah pinggang, memang banyak kena pantang sebenarnya. Nak makan pun makanlah dalam portion yang terkawal. 

Penjagaan makanan pun memainkan peranan penting untuk melambatkan perkembangan kegagalan buah pinggang. Dan juga untuk mengelakkan lagi komplikasi yang lebih serius. 

Doktor pun usaha juga untuk pantau pesakit yang masih di tahap 1,2,3 dan 4 supaya tidak ke arah untuk rawatan dialisis. 

Mak pun dah 2 tahun dah sentiasa follow-up dengan doktor, Setiap kali nak ambil darah tu bila dah tahu result boleh tahu tahap kreatinin ( toksik dalam darah ) dan tahap urea ( air kencing ) untuk mengetahui tahap kesihatan buah pinggang. 

Banyak tau sis dengar cerita orang lain,  kadang - kadang orang tua khususnya yang dah ada CKD, cakap tak pandai nak pantang - pantang. 

Sampaikan ada satu tahap makan buah durian muntah, makan tembikai muntah. Buah pinggang tak dapat nak proses dah. Buah - buah tu dalam kategori potassium tinggi. Kalau boleh jangan makan terus. 

Harapkan dengan coretan ini dapat membantu pesakit buah pinggang di luar sana. Kalau ada apa - apa nak tambah boleh komen. 








Post a Comment

أحدث أقدم