Salam semua, surah yang ke 18 dalam Al Quran adalah surah Al Kahfi. Umumnya semua sudah tahu banyak kelebihan apabila surah Al Kahfi ini dijadikan amalan untuk membaca surah tersebut.
Surah Al Kahfi ini agak panjang. Surah ini mengandungi 110 ayat. Al Kahfi bermaksud "Gua".
Ia diambil daripada cerita yang terdapat dalam surah ini pada ayat 9 hingga 26 mengenai beberapa orang pemuda yang tidur dalam gua beratus tahun lamanya.
Kelebihan Membaca Surah Al Kahfi
Terdapat beberapa hadis Rasulullah SAW yang menyatakan pelbagai fadilat atau kelebihan bagi mereka yang mengamalkan membaca surah Al Kahfi.
Di antaranya ialah sabda baginda diriwiyatkan oleh Al-Baihaqi dari Abi Said Al Khudri bermaksud
1. Sesiapa yang membaca surah Al Kahfi pada malam Jumaat maka terpancarlah cahaya di antaranya dan Baitullah.
Imam Ahmad berkata, daripada Abu Darda, daripada nabi SAW baginda bersabda:
2. Sesiapa menghafaz sepuluh ayat permulaan surah Al Kahfi maka terhindar daripada Dajjal ( HR Muslim,Abu Daud, An-Nasai, At Tirmizi daripada Qatadah)
Imam Ahmad berkata, daripada Abi Darda, Nabi SAE bersabda:
3. Sesiapa membaca sepuluh ayat akhir daripada surah Al Kahfi, maka terhindar lah dia daripada fitnah Dajjal. ( HR Muslim dan An-Nasai )
Daripada Muaz Ibnu Anas Al-Juhari, daripada bapanya, daripada Nabi SAW baginda bersabda:
4. Sesiapa Membaca dari surah Al Kahfi, maka jadilah baginya cahaya daripada kepala hingga kakinya dan sesiapa yang membaca keseluruhannya, maka jadilah baginya cahaya antara langit dan bumi. (HR Ahmad)
Daripada Umar beliau berkata, Nabi SAW bersabda:
5. Sesiapa membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit, untuknya di hari kiamat dan diampunkannya antara dua Jumaat. (HR Ibnu Kathir)
6. Sesiapa yang membaca surah Al Kahfi pada malam atau siang Jumaat, maka diampunkan dosanya hingga Jumaat akan datang, dan tujuh puluh ribu malaikat memohonkan rahmat kepada Allah SWT hingga waktu Subuh, dan dijauhkan Allah dari terkena wabak penyakit demam panas atau taun, penyakit sopak dan dijauhkan dari fitnah dajjal.
Itulah antara kelebihan apabila amalkan untuk membaca surah Al Kahfi. Surah Al Kahfi ayatnya memang panjang.
Sekiranya tidak mampu untuk menghabiskan satu surah, boleh amalkan untuk membaca surah Al Kahfi untuk 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir.
Perlindungan Daripada Fitnah Dajjal
Dalam hadis pun banyak bagi penekanan untuk membaca dan menghafal surah Al Kahfi untuk 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir.
Fitnah Dajjal adalah fitnah yang terbesar di akhir zaman ini. Kenapa disebut Dajjal ?. Apa yang sis baca dekat sini
2. Ia menutupi bumi dengan bilangannya yang besar.
3. Ia menutupi manusia dengan kekafiran.
4. Ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi.
Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu.
Selain itu, dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipu daya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil.
Dajjal juga datang dalam sighah (lafaz) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipudaya.
Surah Al Kahfi Ayat 1-10
Maksud Ayat Surah Al Kahfi Ayat 1 - 10
1. Segala puji terentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong):2. (Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.
3. Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya.
4. Dan juga Al-Quran itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata:" Allah mempunyai anak".
5. (Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.
6. Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.
7. Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.
8. Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang tandus.
9. Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah "Ashaabul Kahfi" dan "Ar-Raqiim" itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?
10. (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami".
Surah Al Kahfi Ayat 101 - 110
Maksud Ayat Surah Al Kahfi Ayat 101 - 110
101. (Iaitu) orang-orang yang matanya telah tertutup daripada melihat tanda-tanda yang membawa kepada mengingatiKu, dan mereka pula tidak dapat mendengar sama sekali.102. Maka adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu sebagai makhluk-makhluk yang disembah, selain daripadaKu, dapat menolong mereka? Sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang kafir itu sebagai tempat tetamu.
103. Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?
104. (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".
105. Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.
106. (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.
107. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).
108. Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.
109. Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan".
110. Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu.
Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".
Kesimpulan
Setiap surah yang kita baca dan amalkan perlu untuk kita memahami maknanya. Bukan sekadar hafal dan baca.10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir dari surah Al Kahfi adalah untuk doa berlindung dari fitnah Dajjal.
Jom lah sama - sama kita fahami maksud ayat surah Al Kahfi. Selain itu sentiasa berdoa juga untuk berlindung dengan fitnah Dajjal dengan doa sebelum memberi salam selepas tahiyat akhir.
Post a Comment